Tuesday, January 26, 2010

Koleksi Peribahasa Melayu, Simpulan Bahasa Dan Maksud

Peribahasa Melayu, Simpulan Bahasa dan Maksud

Dayung sudah di tangan, perahu sudah di air
Maksud: Segala-gala yang dikehendaki sudah diperoleh.

Yang lama dikelek, yang baharu didukung
Maksud : Adat yang lama tetap diamalkan di samping budaya hidup yang baharu.

Seperti lembu dicucuk hidung
Maksud : Orang yang selalu menurut kemahuan orang

Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas
Maksud : Adat yang tidak berubah; sesuatu yang tetap utuh.

Bagai kaca terhempas ke batu
Maksud : Sangat sedih atau kecewa.

Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat
Maksud : Kata sepakat yang dicapai dalam mesyuarat.

Bagai Aur Dengan Tebing
Maksud : Hubungan yang rapat antara sama sama yang lain dan saling membantu.

Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing
Maksud : mengalami susah senang bersama-sama.

Bara yang digenggam biar sampai jadi arang
Maksud : Mengerjakan sesuatu yang sukar hendaklah sabar, sehingga mencapai kejayaan.

Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri
Maksud : Walau bagaimanapun kelebihan di negara orang, tetap negeri sendiri lebih baik lagi.

Melentur buluh biarlah dari rebungnya
Maksud : Mendidik anak biarlah sejak mereka kecil lagi.

Duduk sama rendah, berdiri sama tinggi
Maksud : Dua orang atau pihak yang sama darjat dalam adat

Yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing
Maksud : Bersama-sama menghadapi atau mengerjakan sesuatu.

Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai
Maksud : Kalau takut berhadapan dengan penderitaan , lebih baik jangan melakukan sesuatu yang susah

Indah khabar daripada rupa
Maksud : Perkhabaran tentang sesuatu perkara yang dilebih-lebihkan.

Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah
Maksud : Pengagihan yang sama banyak.

Bukit sama didaki, lurah sama dituruni
Maksud : Perhubungan yang sangat akrab, senang susah bersama.

Kacang lupakan kulit
Maksud : Orang yang melupakan asalnya atau orang yang pernah menolongnya setelah mendapat kesenangan.

Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung
Maksud : Menurut adat atau peraturan di tempat yang kita diami atau tinggal.

Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak
Maksud : Menyesuaikan diri dengan tempat dan keadaan

Ibarat telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semua
Maksud : kesilapan yang dilakukan oleh seseorang menyebabkan orang lain yang menerima akibatnya

Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya
Maksud : Tak akan tercapai maksudnya kalau tak mahu berusaha dan bersusah payah

Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian
Maksud : Bersusah payah terlebih dahulu untuk mendapatkan kesenangan pada kemudian hari.

Yang bulat tidak datang menggolek, yang pipih tidak datang melayang
Maksud : Sesuatu benda tidak akan datang tanpa usaha

Untung anak lelaki cari-carikan, untung anak perempuan nanti-nantikan
Maksud : orang lelaki yang merisik bakal isterinya.

Bagai ikan pulang ke lubuk
Maksud : a. Orang yang pulang ke tempat asal. b. Kehidupan yang senang.

Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit
Maksud : Sabar mengerjakan sesuatu lama-lama berhasil juga.

Bak cendawan tumbuh selepas hujan
Maksud : Terlalu banyak pada sesuatu masa.

Yang kita kejar tak dapat, yang kita kendong pula berciciran
Maksud : Bernasib malang kerana setelah memperoleh sesuatu, tetapi yang sudah di tangan hilang pula.

Bbiar mati anak, jangan mati adat
Maksud : orang yang kuat perpegang pada adat.

Sediakan payung sebelum hujan
Maksud : Berjaga-jaga dulu sebelum mendapat sesuatu bencana.

Mencari Jalan
Maksud : Berikhtiar menyelesaikan sesuatu perkara.

Memerah Otak
Maksud : Berfikir dengan bersungguh-sungguh.

Berbesar Hati
Maksud : Gembira.

Anak Buah
Maksud : a. Anak saudara. b. Pekerja di bawah jagaan kita.

Tuan Rumah
Maksud : Tempat berlangsungnya sesuatu acara

Batu Penghalang
Maksud : Halangan

Darah daging
Anak dan saudara-mara daripada keturunan sendiri.

Meninggi diri
Maksud : Sombong

Bermuka Dua
Maksud : Tidak jujur.

Baik Hati
Maksud : Bersikap baik dan penyayang (suka menolong).

Tulang Belakang
Maksud : Punca kekuatan/ orang harapan

Terang Hati
Maksud : Lekas pandai.

Rendah Hati
Maksud : Tidak sombong

Murah Hati
Maksud : Pemurah.

Tangan Kosong
Maksud : Hampa.

Lintah Darat
Maksud : Peniaga yang mengambil keuntungan yang terlalu tinggi.

Anak Dagang
Maksud : Orang luar yang datang menetap di sesuatu tempat

Monday, January 25, 2010

KESALAHAN TATABAHASA DALAM PENULISAN

1)KESALAHAN HURUF BESAR

Nama Khas
azmi – Azmi
ipoh – Ipoh

Permulaan ayat
di samping itu – Di samping itu…..

2)KESALAHAN KATA GANTI DIRI

ianya sepatutnya ia atau nya sahaja
ia tidak boleh digunakan selain daripada manusia dan benda bernyawa
beliau sepatutnya digunakan untuk orang-orang tertentu sahaja

3)KESALAHAN IMBUHAN

memperbesarkan sepatutnya memperbesar
mengguna sepatutnya menggunakan
mengunakan sepatutnya menggunakan
kebahagian sepatutnya kebahagiaan
kebanyakkan sepatutnya kebanyakan
Menunjukan sepatutnya menunjukkan

4)KESALAHAN KATA SENDI / FRASA SENDI

diPerlis sepatutnya di Perlis
keIpoh sepatutnya ke Ipoh
Di zaman ini…sepatutnya Pada zaman ini..
Pada masa kini sepatutnya Pada masa ini
Nasihat dari ibu bapa sepatutnya Nasihat daripada ibu bapa

5)KESALAHAN ANGKA 2

Rumah2 sepatutnya rumah-rumah

6)KESALAHAN KATA MAJMUK

ibubapa sepatutnya ibu bapa
ibu-bapa sepatutnya ibu bapa
kadang kala sepatutnya kadangkala
kadang-kala sepatutnya kadangkala
sampah-sarap sepatutnya sampah sarap
bukit-bukau sepatutnya bukit bukau

7)KESALAHAN KATA SINGKATAN

spt – seperti
yg – yang
utk –untuk
tdk – tidak
drp – daripada
kpd - kepada
Sept - September

8)KESALAHAN MENGGUNAKAN BAHASA INGGERIS

May – Mei
July – Julai
Bag – beg
satay – sate

9)KESALAHAN BENTUK JAMAK

Semua guru-guru sepatutnya semua guru
Berbagai sepatutnya berbagai-bagai atau pelbagai
Banyak tempat-tempat sepatutnya Banyak tempat
Antara keistimewaan-keistimewaan sepatutnya Antara keistimewaan

10)KESALAHAN HUKUM DM

plastik beg sepatutnya beg plastik
Pak Mat Tempe Restoran sepatutnya Restoran Pak Mat Tempe
lain-lain hal sepatutnya hal-hal lain

11)KESALAHAN EJAAN

definasi sepatutnya definisi
tengahari sepatutnya tengah hari

12)KESALAHAN PENANDA WACANA

Justeru itu………(salah)
Justeru,…(betul)

Jadi,…(salah)
Oleh itu,…(betul)

Oleh kerana…(salah)
Oleh sebab…(betul)

Tambahan lagi…(salah)
Tambahan pula…(betul)

Ini kerana.....(salah)
Hal ini kerana.......(betul)

“Ada” sebagai Kata Penegas

KATA penegas dalam bahasa Melayu disebut juga partikel. Partikel ialah sejumlah perkataan yang memberikan penekanan pada bahagian-bahagian tertentu dalam ayat.

Ayat yang mengandungi kata penegas disebut ayat penegas kerana mengandungi sesuatu penegasan tentang sesuatu perkara. Kita mengenal sesuatu ayat penegas itu melalui adanya kata penegas dalam binaan predikat ayat. Dengan adanya kata penegas itu, hal atau perkara yang hendak ditekankan, atau yang hendak diutamakan dapat disampaikan dengan jelas.

Selain partikel -kah, -lah, -tah (penegas frasa predikat, dan bahagian-bahagiannya), juga, jua, pun, sahaja, lagi, dan memang (penegas frasa subjek, dan frasa predikat), kata kerja tak transitif ada juga dapat berfungsi sebagai penegas ayat.

Sebagai penegas, ada menjadi unsur dalam binaan predikat ayat. Ayat yang mengandungi kata ada dinamai ayat penegas. Perhatikan penggunaan kata penegas ada dalam ayat-ayat contoh yang berikut:

1. Saya / ada bersamanya ketika itu.

2. Dia / ada mengatakan hal itu kepadanya.

Dalam ayat (1) dan (2), kata penegas ada, yang menjadi unsur utama predikat ayat digunakan untuk menegaskan kesungguhan sesuatu hal. Hal demikian itu terkandung dalam makna frasa kerja ayat (1) dan (2), iaitu ada bersamanya, dan ada mengatakan. Jadi, untuk menegaskan frasa kerja, maka kata penegas ada dapat digunakan.

Bagaimana pula halnya untuk menegaskan frasa nama, frasa adjektif dan frasa sendi nama? Untuk frasa adjektif dan frasa sendi nama, kata penegas ada perlu ditambahkan dengan partikel di belakangnya, lalu membentuk kata adalah.

Harus diingat, dalam golongan kata bahasa Melayu, kata adalah ialah kata pemeri. Fungsi kata pemeri tidak lain daripada berfungsi sebagai unsur yang menjadi pemeri hal selain sebagai perangkai antara subjek dengan frasa-frasa utama dalam predikat. Dengan kata lain maksud pemerian merupakan suatu penegasan. Hal demikian dapat kita perhatikan dalam ayat-ayat contoh yang berikut:

3. Selendang sutera ini adalah untuk kekasihnya.

(adalah diikuti oleh frasa sendi nama, dan penegas frasa sendi nama)

4. Pendapatnya adalah tepat.

(adalah diikuti oleh frasa adjektif, dan penegas frasa adjektif)

Untuk frasa nama, kata pemeri ialah, bukan adalah digunakan kerana penggunaan ialah menunjukkan pemerihalan secara persamaan, atau ekuatif. Oleh itu, untuk maksud yang demikian itu, ialah hadir di hadapan frasa nama. Contohnya dalam ayat:

5. Wanita itu ialah jurujual.

(ialah diikuti oleh frasa nama, dan penegas frasa nama)

Untuk tujuan pertanyaan pula, partikel -kah digabungkan dengan kata ada, dan ia membentuk kata tanya adakah dan iakah. Partikel -kah pada kata ada, ia bertujuan semata-mata untuk menegaskan hal yang ditanyakan. Lihatlah tanya jawab yang berikut yang menunjukkan cara kata penegas tanya itu digunakan:

6. Adakah Nasir datang ke sini?

Ya, Nasir ada datang ke sini.

7. Adakah berita itu benar?

Ya, berita itu adalah benar.

8. Iakah orang itu guru baru?

Ya, orang itu ialah guru baru.

Harus diingat bahawa kata tanya apakah tidak boleh dijadikan kata penegas tanya seperti adakah atau iakah. Perhatikan betapa janggalnya ayat tanya yang menggunakan kata tanya apakah dalam ayat tanya yang berikut:

9. *Apakah keluarganya menerima pinanganmu?

Seharusnya: Adakah keluarganya menerima pinanganmu?

10. *Apakah orang itu mantan pengetua?

Seharusnya: Iakah orang itu mantan pengetua?

11. *Apakah bandar Melaka ibu negeri Melaka?

Seharusnya: Adakah bandar Melaka ibu negeri Melaka?

Begitulah huraian tentang bentuk kata ada yang berfungsi sebagai kata penegas dalam ayat bahasa Melayu.

“Cuma” – Perobah Makna Ayat

KATA cuma merupakan jenis ‘kata penegas’ dalam golongan kata tugas bahasa Melayu. Kata penegas ialah bentuk kata yang digunakan untuk menguatkan sesuatu kenyataan dalam ayat. Kata penegas dapat dibahagikan kepada dua bentuk, iaitu bentuk kata partikel dan bentuk kata akar.

Contoh kata partikel ialah lah, kah, tah, dan pun, dan contoh kata akar ialah juga, jua, lagi, hanya, sahaja, memang, dan cuma. Jika kata penegas partikel menekankan maksud perkataan yang bercantum dengannya, kata penegas berbentuk akar pula menekankan subjek atau predikat ayat, termasuklah unsur keterangan dalam sesuatu ayat.

Makna sesuatu ayat boleh berubah jika mana-mana satu konstituen yang hadir sebagai unsur binaan ayat itu berbeza-beza letaknya. Lazimnya, konstituen atau unsur kata yang berkenaan terdiri daripada kata tugas yang berfungsi sebagai penegas subjek atau predikat.

Kata penegas cuma bermaksud “hanya”, “melainkan”, dan “semata-mata”, “yang satu-satunya”, “sekadar”, dan “cuming”. Maksud yang demikian ini terkandung dalam ayat contoh yang berikut: Aku cuma anak pungut, tidak dapat berbuat banyak, dan ayat: Saya datang cuma kerana saudari.

Selain itu, kata cuma juga membawa maksud “tidak ada yang lain (sendirian)”. Maksud yang demikian itu, dapat difahami melalui ayat: Cuma dia yang datang, tidak ada yang lain.

Telah ditegaskan bahawa perubahan makna ayat boleh berlaku apabila satu perkataan tertentu dalam ayat dipindahkan tempat letaknya. Perkataan cuma yang menjadi unsur dalam binaan ayat dapat mengubah makna ayat jika kedudukannya dalam ayat itu berubah-ubah. Ayat: Zawiyah menemui Zaidah di rumah ibunya pada hari Jumaat mengandungi makna yang cukup jelas, iaitu menerangkan perihal Zawiyah menemui Zaidah di rumah ibunya (ibu Zaidah), dan perbuatan menemui itu dilakukan pada hari Jumaat. Teranglah bahawa tiada penegasan yang khusus dalam bahagian-bahagian tertentu ayat tersebut sama ada pada bahagian frasa subjek mahupun bahagian predikat ayat.

Jika perkataan cuma diletakkan di tempat yang berbeza-beza dalam ayat itu, sudah tentu maknanya berbeza-beza pula. Telitilah ayat yang sama dengan cuma berada pada tempat yang berbeza-beza.

1. Cuma Zawiyah menemui Zaidah di rumah ibunya pada hari Jumaat.

2. Zawiyah cuma menemui Zaidah di rumah ibunya pada hari Jumaat.

3. Zawiyah menemui cuma Zaidah di rumah ibunya pada hari Jumaat.

4. Zawiyah menemui Zaidah cuma di rumah ibunya pada hari Jumaat.

5. Zawiyah menemui Zaidah di rumah ibunya cuma pada hari Jumaat.

Ayat yang pertama membawa maksud bahawa orang yang bernama Zawiyah sahajalah yang melakukan perbuatan menemui itu; bukan orang lain. Letak kata cuma dalam ayat yang kedua telah mengubah makna ayat yang pertama. Ayat yang kedua ini membawa makna bahawa Zawiyah menemui, bukan memukul, bukan mencubit Zaidah.

Ayat yang ketiga pula berubah maksudnya lagi kerana perubahan letak perkataan cuma. Ayat tersebut bermakna bahawa Zawiyah menemui Zaidah sahaja, bukan perempuan lain. Dalam ayat yang keempat pula, penegasan terletak pada tempat pertemuan antara Zawiyah dengan Zaidah, iaitu di rumah ibunya, bukan di rumah orang lain.

Ayat yang kelima, iaitu Zawiyah menemui Zaidah di rumah ibunya cuma pada hari Jumaat menegaskan waktu pertemuan itu terjadi. Ayat yang kelima ini menerangkan bahawa Zawiyah menemui Zaidah pada hari Jumaat, bukan hari Khamis atau hari Sabtu, atau hari-hari yang lain selain hari Jumaat.

Kita dapat juga melihat perubahan makna kelima-lima ayat yang di atas itu jika perkataan cuma digantikan dengan perkataan-perkataan lain seperti daripada kata penegas hanya, memang; kata bantu sudah, pernah, sedang, akan; atau kata nafi tidak, dan sebagainya.

Demikianlah wujudnya perubahan makna dalam sesuatu ayat apabila sesuatu perkataan yang menjadi unsur binaan ayat itu diletakkan di tempat yang berbeza-beza.

Friday, January 22, 2010

Thursday, January 21, 2010

Sajak Khas Buat Guru

Guru oh Guru
Berburu ke padang datar,
Dapat rusa belang kaki,
Berguru kepalang ajar,
Ibarat bunga kembang tak jadi. (Dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta) Dialah pemberi paling setia,
Tiap akar ilmu miliknya,
Pelita dan lampu segala,
Untuk manusia sebelum menjadi dewasa,
Dialah ibu dialah bapa juga sahabat,
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat,
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat,
Seribu tahun katanya menjadi hikmat,
Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa,
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta,
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara,
Jika hari ini seorang ulama yang mulia,
Jika hari ini seorang peguam menang bicara,
Jika hari ini seorang penulis terkemuka,
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa,
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca,
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di lbu Kota,
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakill seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa,
Semakin bererti tugasnya kepada negara,
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu guruku,
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

Karangan Ucapan

karangan ucapan
Soalan 1
Sekolah anda telah menerima kunjungan lawatan daripada Sekolah Kebangsaan Keladi Darau . Anda sebagai ketua murid diminta memberikan ucapan mengalukan kedatangan rombongan

Pendahuluan;
ucapan protokol
ucap terima kasih dan selamat datang
a) Ucap terima kasih di atas penghormatan memberi ucapan.
b) Terima kasih kerana sudi melawat
c) menjelaskan latar belakang sekolah - sejarah , kedudukan dan pencapaiannya dalam kurikulum dan kokurikulum / Johan 3K
d) murid digalakkan membuat lawatan - tambah pengalaman / menambah kenalan.
e) Berbagai aturcara disediakan - suai kenal - lawatan sekitar sekolah dan acara sukaneka.
f) semoga semua pelajar dapat memberi kerjasama.
g) jemput menikmati juadah yang dihidangkan
gembira menerima tetamu
semoga dapat belajar sesuatu daripada lawatan yang singkat
sekian, terima kasih

Soalan 2:
Anda diminta untuk memberi ucapan sempena Hari Guru peringkat sekolah kamu .Bina teks ucapan kamu.

Pendahuluan;
Ucapan protokol
Isi
a) Ucap terima kasih kerana diberi penghormatan untuk memberi ucapan .
b) 16 hari bersejarah - Hari Guru- disambut di seluruh negara
c ) Guru pembentuk generasi akan datang-banyak berjasa -mendidik kita - membentuk akhlak .
d) Dari -tidak tahu menulis - membaca dan mengira kepada tahu dan mahir. kita mesti hormati guru,-mendengar - nasihat guru, dan sentiasa rajin belajar.
e) kami berjanji - patuhi arahan - belajar bersungguh.
Penutup :
Ucap Selamat Hari Guru dan ucapan doa sejahtera untuk guru.
Sekian, terima kasih.


Soalan 3
Andaikan salah seorang guru anda akan bersara.
Anda sebagai ketua kelas dikehendaki memberi ucapan dalam majlis perpisahan yang diadakan.

isi
Ucapan alu-aluan kepada pengerusi Majlis, Guru Besar guru-guru, dan rakan-rakan
a ) Ucap terima kasih kerana diberi peluang untuk berucap.
b) guru yang kita sayangi akan meninggalkan kita- Cikgu Ahmad Said.
c) mengajar di sekolah ini lebih daripada 10 tahun menjalankan tugas dengan tekun dan sabar- tidak
jemu memberi nasihat - nasihat itu akan dijadikan panduan.


Soalan 4
Andaikan bahawa anda ketua murid. Anda dikehendaki berucap di Majlis Perpisahan Murid-murid Tahun Enam. Guru Besar dan guru-guru hadir dalam majlis itu.

Ucapan protokol
isi
a. selama enam tahun bersekolah - banyak ilmu didapati - dulu buta huruf - kini sudah pandai membaca , menulis, dan mengira.
b. segala jasa guru akan dikenang - mengucapkan terima kasih atas pengorbanan guru - memohon maaf atas segala kesalahan yang dilakukan.
c. tidak akan bersikap seperti kacang lupakan kulit - berjanji akan menurut segala nasihat guru - berdisiplin dan berusaha meningkatkan taraf pencapaian akademik.
Mengakhiri dengan serangkap pantun

soalan 5
Pasukan sekolah kamu telah berjaya menjadi johan di dalam pertandingan bola sepak peringkat daerah. Sebagai ketua pasukan anda telah diminta berucap di perhimpunan sekolah.

Ucapan protokol
a) ucap terima kasih kerana diberi peluang berucap
b) terharu menerima pujian di atas kemenangan
c) berjaya berkat latihan gigih guru-guru dan kerjasama rakan-rakan sepasukan.
d) kemenangan adalah untuk sekolah - mengharumkan nama sekolah.
e) berharap kejuaraan akan dapat dikekalkan.
Ucap terima kasih.

Pasukan bola sepak sekolah kamu telah berjaya menjadi johan dalam pertandingan peringkat negeri bagi sekolah-sekolah rendah. Kamu sebagai Ketua Pasukan bola sepak dikehendaki berucap dalam satu majlis khas meraikan kejayaan tersebut. Sediakan ucapan kamu dengan selengkapnya.

Kata-kata aluan kepada tetamu
a) kejayaan kali pertama pasukan sekolah
b) kejayaan ini kejayaan bersama
n terutama kepada guru-guru yang memberi latihan dan bimbingan
n kepada rakan-rakan yang memberi sokongan moral dan tenaga
c) menaikkan nama baik sekolah
d) harapan akan terus berjaya pada masa-masa hadapan
berikrar akan terus kekalkan prestasi
terus meraih kejayaan pada peringkat negeri pula.

Sebagai Ketua Murid , kamu diminta berucap sempena majlis sambutan Hari Guru peringkat sekolah yang diadakan baru-baru ini. Sediakan ucapan kamu itu selengkapnya.

Kata-kata aluan
ditujukan khas kepada guru-guru sekolah
a) tarikh 16 Mei menjadi ingatan kepada semua pendidik
b) terima kasih kepada guru-guru yang telah mendidik
n menyanjung jasa guru
c) tanpa guru , murid akan menjadi buta huruf dan buta ilmu
d) jasa guru patut dikenang sampai bila-bila
sentiasa memberi kerjasama kepada guru
Peribahasa membakar lilin menerangi yang lain

Guru Besar sekolah kamu akan bertukar ke sekolah lain. Sebagai wakil murid, kamu dikehendaki menyampaikan satu ucapan perpisahan.
Tulis ucapan tersebut.

Andaikan bahawa anda ketua murid. Anda dikehendaki menyampaikan ucapan sempena sambutan Hari Guru yang diadakan di sekolah anda. Tajuk ucapan anda ialah "Menghormati Guru" . Panjang karangan anda ialah tidak kurang daripada 80 patah perkataan.

Anda telah terpilih sebagai pelakon terbaik sempena pertandingan drama antara sekolah rendah peringkat negeri. Anda telah diraikan dalam satu majlis dan anda juga dikehendaki menyampaikan ucapan di majlis tersebut. Sediakan ucapan itu.
Anda akan menyambut hari jadi anda yang kedua belas. Sediakan ucapan untuk kawan-kawan yang datang ke majlis itu.

Anda adalah ketua kelas. Dalam satu majlis meraikan guru kelas yang akan melanjutkan pelajaran ke luar negara, anda diminta menyampaikan ucapan. Sediakan ucapan tersebut.

Kamu ialah wakil daripada Persatuan Kajian Tempatan sekolah kamu. Persatuan kamu telah membuat lawatan ke Pusat Institut Haiwan di tempat kamu. Kamu dikehendaki memberikan ucapan terima kasih kepada pihak Pengurusan Institut yang menerima kunjungan kamu dan rombongan.

Guru disiplin sekolah kamu akan bertukar ke sekolah lain. Kamu selaku wakil pelajar telah diminta memberikan ucapan dalam satu majlis perpisahan yang diadakan untuk meraikan beliau.

Cerpen

“Allahuakbar Allahuakbar………”

Takbir bergema di Masjid-masjid, dicorong radio serta televisyen. Umat Islam yang berpakaian serba indah berpusu-pusu menuju ke Masjid untuk menunaikan solat Aidilfitri. Tidak kira yang kecil atau yang besar, masjid-masjid serta surau dipenuhi dengan jemaah-jemaah sehingga ruang untuk solat tidak mencukupi.

Ramli memerhatikan gelagat mereka dengan penuh sayu. Teringin benar untuk mengikuti mereka menunaikan solat sunat itu tetapi apakan daya. Kaki dan tangannya yang cacat itu tidak mengizinkan dia melakukan sedemikian. Kini, sudah genap tiga puluh tahun Ramli hidup di muka bumi ini tetapi tidak sekali pun dia dapat mengikuti sembahyang sunat Hari Raya dan juga genap lima belas tahun Ramli tidak menyambut Hari Raya bersama keluarganya.

“Ya, Allah jika ini adalah ujian yang telah kau berikan kepadaku, aku terima dengan hati yang terbuka. Tetapi Ya Allah, izinkanlah aku menyambut bulan yang mulia ini bersama umat-umatmu yang lain sebelumku kembali kepadamu,” Ramli menadah tangannya yang cacat itu dan berdoa kepada Allah swt.

Titisan air mata yang mengalir semakin membasahi pipinya. Dengan suara yang teresak-esak, Ramli berdoa, memohon kepada tuhan semoga dia dapat menyambut Hari Raya bersama keluarganya. Entah kenapa pada tahun ini, teringin benar dia menyambut Hari Raya tidak seperti tahun-tahun dahulu, Ramli tidak begitu ghairah.

“Adikku Rusdi, izinkanlah Ramli menyambut Hari Raya bersama Rusdi sekeluarga. Ini sahaja yang abang minta,” Ramli berbisik di dalam hati dengan tangisan yang begitu memilukan.

Matanya masih terpaku di Masjid yang berdekatan dengan rumahnya itu. Ramli semakin berasa kempunan untuk berbaju raya seperti umat Islam yang lain. Kalaulah kakinya dapat berjalan, sudah pasti Ramli akan mengikuti solat Hari Raya itu. Tiba-tiba, Ramli terpandang dua anak kecil yang sedang dipimpin oleh bapa mereka dan berjalan ke arah masjid. Fikiran Ramli terus berputar kepada zaman sewaktu ibu bapanya masih hidup. Terukir senyuman dibibirnya tatkala mengenangkan kisah lama itu.

“Ramli tahun ini nak pakai baju raya warna apa?”

“Ramli nak ikut ibu. Tahun ini kita pakai semua samalah bu. Cantikkan.”

“Amboi anak ibu dah pandai nak bergaya eh,”

“Abang cacat, pakai lawa-lawa pun tak nampak,”

“Rusdi! Tak baik cakap macam gitu. Inikan abang Rusdi. Pergi minta maaf!”

“Abang Ramli cacat. Tapi ibu selalu sayang abang lebih dari Rusdi. Ibu tak adil!”

Rusdi terus berlari ke dalam biliknya.

Ramli tidak sedikit pun berkecil hati dengan kata-kata adiknya Rusdi yang baru berumur sembilan tahun pada waktu itu. Ramli sedar ibu dan bapanya sayangkan kedua-dua anaknya tetapi mereka telah memberi lebih perhatian kepada Ramli kerana kecacatannya. Ramli dilahirkan kurang sempurna. Kaki dan tangannya kecil dan tulang-tulang tubuhnya bengkok. Ramli hanya boleh bergerak dengan bantuan kerusi roda. Waktu kecil, Ramli tidak kuat untuk bergerak dengan menggunakan tangannya sahaja.

Sejak kecil lagi, adiknya Rusdi tidak pernah menyukai abangnya itu. Sehingga kini Ramli masih belum mengerti tetapi dia dapat mengagak bahawa Rusdi malu dengan kecacatannya ataupun mungkin Rusdi masih berasa cemburu terhadap dirinya yang sering mendapat perhatian lebih daripada ibu dan bapa mereka.# Namun demikian, Ramli berasa gembira. Walaupun ibu bapanya mempunyai seorang anak yang tidak sempurna, mereka masih menjalankan amanah Tuhan untuk menjaga dan membesarkan zuriatnya ini dengan penuh kasih sayang. Bagi Ramli, kasih sayang ibu dan bapanya terhadapnya sudah cukup untuk memberinya semangat untuk terus hidup seperti orang biasa. Ramli juga percaya apabila Rusdi semakin dewasa, dia akan dapat menerima Ramli.

“Ibu, Ramli nak ikut ibu sembahyang hari raya boleh bu?” Ramli bertanya kepada ibunya pada suatu pagi raya.

“Tak boleh sayang, nanti bila Ramli sudah besar sedikit, bila Ramli sudah boleh berjalan sendiri ibu bawa Ramli pergi ya?”

Ramli akur. Ramli hanya tersenyum sahaja dengan jawapan ibunya itu. Namun demikian, hatinya begitu teringin untuk mengikuti keluarganya mengikuti sembahyang raya di Masjid.

“Orang cacat mana boleh sembahyang!” usik Rusdi lalu mengikut ibu dan bapanya ke Masjid.

Kali ini hati Ramli betul-betul terusik. Ramli tidak sangka kecacatannya itu menghalangnya untuk bertemu dengan Tuhan. Tetapi Ramli mengerti bahawa dia hanya akan menyusahkan orang sahaja. Ramli menunggu keluarganya sambil menonton acara sembahyang sunat hari raya di televisyen.

“Tuk Tuk Tuk!”

Ramli tersentak dari lamunan. Pintu rumah kecilnya dibuka.

“Aiyah orang muda, Lu apa b ikin sini. Lu talak mahu pergi hali laya sama itu famili ka?”

“Oh Auntie. Masuklah. Wah pagi pagi Auntie sudah datang Auntie sudah makan?”

Insan yang dipanggil Auntie ialah jiran Ramli, seorang wanita cina yang sudah separuh abad umurnya. Auntie itu yang juga dikenali sebagai Auntie LI sering datang ke rumah Ramli untuk memberinya makanan.

“Wa pagi-pagi sulah makan. Ini wa ada bawa lu lontong. Lu sukakan?” pelawa wanita cina itu.

“Auntie beli di mana? Kedai Melayu ada bukak ke?” Ramli was-was.

“Lu jangan takut. Wa tau lu Melayu mana boleh makan cina punya makan. Anak wa punya kawan kasi ini lontong. Wa kasi samalu. Halal punya. Jangan takot,” Auntie Li terus pergi ke dapur Ramli lalu memberi Ramli sebungkus lontong itu.

Terharu Ramli mendengar ketulusan Auntie Li itu. Selama dia duduk di sini, wanita cina yang sudah tua tapi masih kuat itulah yang menjadi temannya. Dia juga yang sering memberinya makanan. Yang lebih mengkagumkan Ramli, Auntie Li cukup prihatin terhadap sumber makanan yang diberinya kepada Ramli. Dia akan pastikan makanan itu halal sebelum memberikan kepada Ramli. Oleh itu, Auntie Li tidak akan memberi makanan masakannya tetapi masakan Melayu.

Ramli membuka bungkusan lontong itu sambil menitiskan air mata.

“Eh lu apa pasal nangis,”

Ramli membisu. Air matanya masih juga mengalir membasahi pipinya. Ramli menangis kegembiraan kerana masih juga ada insan yang mulia yang sudi membantu dirinya yang cacat ini sedangkan keluarganya sendiri meminggirkannya.

“Lu mau apa lu cakap sama anti. Wa boleh tolong sama lu,”´Auntie Li cuba menghulurkan bantuan.

“Tak ada apa-apa auntie. Saya gembira dapat makan lontong,” Ramli cuba menutup kesedihannya.

Auntie Li hanya memerhatikan Ramli yang sedang menikmati lontong yang dibawanya itu. Lazimnya, jika dia menghantar makanan, dia pasti akan menemani dan berbual-bual dengan Ramli.

Tergerak hati Auntie Li untuk menanyakan tentang hal peribadi Ramli. Tetapi dia masih tidak berani untuk mengajukan soalan itu kerana Ramli sering kelihatan menangis. Auntie Li tidak mahu menambahkan kesedihan Ramli. Auntie Li dapat merasakan bahawa hati Ramli sedang merana. Dia juga dapat merasakan Ramli mempunyai latar belakang yang menyedihkan. Kalau tidak, Ramli tidak akan tinggal seorang diri di rumah sewa yang tidak mempunyai bilik ini.

Ramli yang sedang khusyuk menikmat hidangan lontong itu terhenti apabila melihat Auntie Li yang sedang memerhatikannya.

“Auntie mahu tahu sejarah hidup saya?” Ramli seperti dapat membaca apa yang terpendam di benak fikiran Auntie Li.

“Eh! Lu boleh baca wa punya otak ah? Wah lu baguslah. Manyak pandai,” Auntie Li berseloroh.

Dengan hati yang terbuka, Ramli memulakan cerita. Air matanya ditahan daripada mengalir keluar.

“Dulu saya ada ibu dan ayah. Mereka baik sekali. Mereka sayang sama saya. Saya cacat sejak saya keluar dari perut ibu. Sewaktu umur saya sepuluh tahun, ibu dan ayah meninggal dunia selepas kemalangan jalan raya. Tinggal saya dan adik saya Rusdi namanya. Selepas itu, kami dua beradik dijaga oleh makcik saya. Waktu itu umur saya baru sepuluh tahun. Lima belas tahun kemudian, adik saya Rusdi berkahwin. Makcik saya tidak mahu jaga saya lagi. Makcik suruh saya ikut adik saya Rusdi. Saya pun duduk dengan Rusdi di rumahnya sendiri. Auntie tahu bukan saya tidak boleh bergerak banyak jadi kadang-kala saya perlukan pertolongan mereka. Isteri Rusdi sibuk. Dia tidak ada masa untuk tolong saya. Saya sedar Auntie, saya banyak menyusahkan orang lain. Saya tidak mahu ganggu mereka tapi saya tidak berdaya.








“Adik saya Rusdi menghalau saya. Saya tahu adik saya tidak suka dengan saya sejak dari dulu lagi dan dia memang berniat untuk menghalau saya. Isterinya sering berkata kepada Rusdi bahawa dia malu dengan kawan-kawan dan jiran-jiran kerana mempunyai abang ipar yang cacat seperti saya. Dua hari kemudian Uncle Manikam yang dulu tinggal di rumah ini jumpa saya di bawah blok dan bawa saya tinggal bersama saya di sini. Dua tahun kemudian Uncle Manikam balik ke India dan tinggallah saya seorang diri di sini.” Ramli memberhentikan ceritanya.

Ramli tidak dapat menahan kesedihannya lagi. Dia kembali termenung.

Tanpa disedari, air mata Auntie Li juga turut mengalir. Auntie Li terharu mendengar kisah hidup Ramli yang sungguh menyedihkan itu. Auntie Li tidak tahu bagaimana hendak membantu Ramli. Ramli dianggap seperti anaknya sendiri.

“Lu punya adik ada tahu lu tinggal di sini?Lu tak ada telefon lu punya adik?” Auntie Li bersuara lagi.

“Saya ada telefon Rusdi apabila saya berpindah ke sini. Rusdi tahu saya tinggal di sini. Tapi saya sudah tidak mahu menyusahkan hidup mereka lagi,” Ramli menjelaskan lalu teringatkan kembali perbualan telefonya bersama Rusdi pada suatu hari.

“Rusdi, Abang Ramli ni,”

“Nak apa lagi?”

“Abang Cuma nak cakap abang sekarang tinggal di Blk 100 Aljunied Road. No telefon Abang 74……”

Rusdi memutuskan panggilan itu sebelum Ramli habiskan perbualannya.

“Lu ada itu nombor rumah lu punya adikkan?” Auntie Li mengejutnya dari lamunan.

“Ada tapi kenapa Auntie?” Ramli berasa hairan.

“Lu tak mau pergi rumah lu punya adik?”

“Tidak usahlah Auntie. Saya tidak mahu menyusahkan mereka. Kalau mereka ingatkan saya, mereka akan datang dan mencari saya.”

Namun demikian, hati Ramli hanya tuhan sahaja yang tahu. Teringin sungguh dia bertemu dengan adiknya sendiri dan menyambut hari raya bersama mereka sekeluarga.

Selepas bercerita panjang, Auntie Li pun meminta diri untuk pulang ke rumah. Ramli menadah tangannya lalu mengadu kepada Tuhan.

“Ya Allah ya Tuhanku. Kepadamu aku sembah dan kepadamu aku pohon pertolongan dan kemaafan. Ya Allah. Ampunkan segala dosa-dosa yang telah aku lakukan terhadapmu dan terhadap umat-umat mu Ya Allah. Ya Allah Terangkanlah hatiku, terangkanlah hati adikku Rusdi. Ya Allah ampunkah dosa adikku Rusdi. Selamatkanlah dia dari hinaan dunia dan siksaan api neraka. Ya Allah. Jika ujian yang engkau berikan kepadaku ini adalah untuk menguji keimanan ku terhadapmu, aku terima dengan hati terbuka. Tetapi Ya Allah, aku memohon kepadamu. Aku teringin untuk menyambut bulan yang mulia ini bersama sanak saudaraku. Ya Allah, bukakanlah hati keluargaku untuk menerima ku walaupun sehari. Aku redha dengan ketentuanmu. Aku terima kecacatan yang menimpa diriku. Aku terima Qadha dan Qadarmu Ya Allah. Kini hanya satu yang kupohonkan dari mu Ya Allah. Temukanlahku dengan adikku. Izinkanlah aku menyambut bulan syawal yang mulia ini untuk sekali ini sahaja…….,” Ramli terhenti dari doanya.

Ramli tidak mampu untuk menyambung doanya lagi. Ramli semakin lemah. Badannya direbahkan ke atas tilam buruknya itu. Matanya dibanjiri tangisan air mata. Ramli menutup matanya.

Dengan kuasa Allah Swt yang mendengar segala rintihan umatnya, Auntie Li dan anak-anaknya muncul di depan pintu. Melihat Ramli yang sedang tidur, anak-anak Auntie Li mengangkat Ramli ke atas kerusi rodanya lalu membawanya ke dalam kereta anak Sulung Auntie Li. Ramli sudah terlalu lemah untuk membuka matanya. Sehari suntuk dia tidak tidur. Auntie Li memberi alamat rumah Rusdi yang telah diambilnya dari diari Ramli. Mereka pun bergegas ke rumah Rusdi di Tampines.

Sesampainya mereka ke rumah Rusdi, Auntie Li mengetuk pagarnya yang sudah dibuka luas. Ramai tetamu yang sedang bertandang di rumah Rusdi. Beberapa minit kemudian Rusdi muncul di muka pintu. Rusdi rebah ke lantai apabila melihat abangnya yang sudah lama tidak ditemuinya.

“Ini lu punya abang mau jumpa sama lu. Kalau lu tak mau simpan sama dia, lu cakap sama wa. Nanti wa punya anak-anak angkat dia balik rumah wa,” Auntie Li berkata dengan tegas.

Ramli masih memejamkan matanya manakala Rusdi meraung di kaki abangnya meminta maaf.

Pengajaran Dalam Petikan

Tulis lima pengajaran yang dapat anda peroleh daripada petikan di bawah ini. Panjangnya jawapan anda mestilah tidak lebih daripada 50 patah kata, Tulis jawapan anda dalam satu perenggan,

Kumar hairan apabila terlihat seorang budak leiaki menangis ketika dia dalam perjalanan ke sekolah, Budak le!akiitu dud uk di pondok menunggu bas sambi I menekup mukanya, Dia tersengguk­sengguk menahan sebak, Kumar merapati budak itu,

"Adik, mengapa adik menangis? Adik sakitkah?" tanya Kumar. Kumar memegang bahu budak itu perlahan, Budak lelaki itu terkejut, Dia mendongak don memandang Kumar, Budak lelaki itu adalah murid sekolah Kumar juga, Kalau tidak silap Kumar, budak itu murid tahun empat.

"Soya bukannya sakit, Duit belanja sekolah yang ayah soya berikan pagi tadi telah diambil oleh duo orang murid. Mereka mengugut akan memukul soya jika soya tidak memberikan wang kepada mereka," kata murid tahun empat itu dalam nada sebak, Wajahnya seolah-olah meminta simpati Kumar.

Kumar terkejut mendengar pengakuan budak itu,

"Mengapa adik tidak melaporkan perkara ini kepada guru?" kata Kumar.

"Soya takut kalau-kalau mereka akan memukul soya nanti. Mereka itu murid tahun enam," jawab budak itu, Kumar kasihan melihat budak itu,

"Adik jangan takut, Mari ikut abang laporkan perkara itu kepada cikgu disiplin. Orang yang melanggar peraturan sekolah memang patut dihukum, Jika tidak, murid yang lain pula menjadi mangsa," kata Kumar lagi.

Budak itu tidak berkata apa-apa, Dia hanya mengikut soja langkah Kumar. Kumar memimpin tangan budak itu menuju ke bilik guru,

Tip Penulisan Karangan

Tip Penulisan
1. Kertas 2 Bahasa Melayu UPSR menyediakan tiga soalan untuk dijawab dalam tempoh 1 jam. Anda boleh memilih untuk menjawab Soalan 1 (a) atau 1 (b). Calon dimestikan untuk menjawab Soalan 2.
2. Panjangnya karangan anda mestilah tidak kurang daripada 80 patah perkataan. Seelok-eloknya tulislah sehingga 120 patah perkataan. Jangan terlalu panjang kerana anda akan kesuntukan masa untuk menjawab soalan yang seterusnya. Anda mungkin juga akan banyak melakukan kesalahan dari segi tatabahasa yang akan menyebabkan markah anda ditolak.


3. Umumnya, karangan/penulisan dalam UPSR terbahagi kepada dua jenis:
¨ Karangan berformat
¨ Karangan tidak berformat
4. Contoh karangan berformat
¨ berita
¨ dialog/ temu ramah
¨ laporan
¨ perbahasan
¨ surat kiriman rasmi
¨ surat kiriman tidak rasmi
¨ syarahan
¨ ucapan
5. Contoh karangan tidak berformat
¨ autobiografi & biografi
¨ fakta
¨ imaginasi/cereka
¨ peribahasa
¨ perbincangan
¨ naratif/keperihalan
¨ penerangan
¨ situasi
¨ menyudahkan cerita
Ciri-Ciri Karangan yang Baik
¨ pendahuluan yang berkesan, memahami kehendak soalan dan memberikan tumpuan kepada tugasan soalan
¨ isi yang relevan dan mencukupi
¨ isi diolah dengan baik
¨ disertakan contoh-contoh yang sesuai
¨ pemilihan kata yang sesuai
¨ kosa kata luas dan tepat
¨ ada kesinambungan
¨ ada perenggan
¨ penutup yang baik
Proses Menulis Karangan
¨ Memahami kehendak soalan
¨ Mencari isi penting
¨ Menyusun isi, bina rangka karangan
¨ Menulis karangan
¨ Menyemak (aspek bahasa sahaja)
Pemarkahan Karangan
a. Isi - 10 markah
Perincian peruntukan markah:
¨ Pendahuluan - 1 markah
¨ Isi 1 - 2 markah
¨ Isi 2 - 2 markah
¨ Isi 3 - 2 markah
¨ Isi 4 - 2 markah
¨ Penutup - 1 markah
Nota: Isi yang mantap (isi dengan huraian dan olahan, yang tidak menepati piawai,
hanya diberi 1 markah sahaja).
b. Aspek Bahasa - (15 markah)
¨ perbendaharaan kata - 3 markah
¨ struktur ayat - 3 markah
¨ imbuhan - 3 markah
¨ tanda baca - 3 markah
¨ ejaan - 3 markah

Monday, January 18, 2010

Sistem Bahasa :Penjodoh Bilangan

Arahan : Tuliskan penjodoh bilangan yang betul.

Ekor , helai , keping , batang , buah , biji

1.


Se _____________ pensel.

2.


Se __________kamus.

3.


Beberapa ____________ poskad.

4.



Dua _________arnab.

5.



Dua ________ daun.

6.



Dua ______ guli.

Aktivit Berkemahiran

Arahan : Baca petikan . Jawab soalan.

Bunga raya ialah bunga kebangsaan Malaysia.
Bunga raya merah dipilih sebagai bunga kebangsaan negara kita.
Bunga raya mempunyai lima kelopak.
Lima kelopak bunga raya melambangkan lima prinsip Rukun Negara. Warna merah pula melambangkan keberanian.

Soalan.

1.Apakah bunga kebangsaan Malaysia ?

__________________________________________________.

2. Bunga kebangsaan Malaysia Berwarna apa?

__________________________________________________.

3. Bunga raya mempunyai berapa kelopak?

__________________________________________________.

4. Lima kelopak bunga raya itu melambangkan apa ?

___________________________________________________.

5. Warna bunga raya yang berwarna merah melambangkan apa ?

___________________________________________________.

Mari Berpantun

Lengkapkan rangkap pantun.

  • Pandang ke kanan dan ke kiri.
  • Jangan lupa mengunci pintu.
  • Jika terbakar susah sendiri.
1. Buah kelapa jatuh ke tanah,
Jatuh ke tanah menimpa batu,
Sebelum keluar dari rumah,
__________________________

2. Buku - buku tersusun rapi,
Tersusun rapi di dalam almari,
Jangan cuba bermain api,
_________________________,

3. Baik - baik melintas titi,
Jangan pula terpijak duri,
Semasa melintas berhati - hati,
__________________________,

Al-quran

Search in Quran
Search in Quran:
in
Download Islamic Softwares FREE | Free Code
Powered by www.GuidedWays.com

Hadith

Search in Hadith
Search: in
Download Islamic Softwares FREE | Free Code
Powered by www.GuidedWays.com